... Si bahlut...

Setelah sekian lama 'mengidam' untuk membaca novel Bahlut karya FT, akhirnya Plaza Gurney dijejak untuk mencari MPH. Bertemu dengan Bahlut akhirnya memberi kepuasan, tanpa ragu2 terus ke kaunter bayaran.

Watak Bahlut diadun dengan begitu menarik. Anak orang asli, punya kelebihan untuk memecut laju yang percaya ibu bapanya mati tanpa jejak. Tidak beragama pada mulanya tetapi akhirnya 'diislamkan' oleh penulis. Hidayah Allah tiba di saat dugaan datang bertimpa2 dan Bahlut percaya ada suatu kuasa yang dapat menolongnya. Nyenang he nanek!

Menjadi penulis, pengarang, pengarah drama semuanya bermain dengan imaginasi.Mudah untuk mengislamkan watak. Kerana dengan hanya membayangkan watak kita mahu jadi begini, maka jadilah ia. Mahu jadi begitu, begitulah jadinya. Mudah sekali bermain dengan imaginasi!

Tetapi realitinya, sukar sekali mengislamkan seseorang. Aku mahu melihat dia menjadi Muslim. Seorang Muslim yang boleh membantu Islam. Yang boleh menjadi kebanggaan Islam. Tiada penghalang antara kami atas perbezaan agama. Tetapi, hidayah bukan milik manusia. Hatta nabi sendiri pun, tidak mampu mengislamkan pakciknya.

Namun, manusia punya kuasa. Kuasa untuk berdoa. Berdoa tanpa putus. Harapan yang sentiasa kuat untuk melihat dia menjadi muslim. Allah pemilik hidayah itu. Aku punya daya untuk berdoa melihat dia menemui jalan terbaik dalam hidupnya. Seandainya hati dia tidak ketemu hidayah itu, aku berharap dia bahagia dengan jalannya. Namun, seandainya hidayah Allah itu suatu anugerah kepada dia, aku bersyukur!