BERSIH 3.0!Saya menulis bukan untuk menyokong peristiwa yang berlaku dalam negara pada 28 April 2012 yang lalu..Membantah juga bukan. Namun saya menulis dengan hati terbuka dan minda yang bebas untuk melontarkan pendapat. Tidak mahu terima silakan. Bersetuju juga dialukan. Yang penting, bersikaplah berlapang dada.
BERSIH 3.0. Sepanjang penelitian di internet mahupun di dada-dada akhbar, saya percaya pemberitahuan tentang BERSIH 3.0 sudah awal-awal lagi dimaklumkan melalui media massa. Tidak salah kiraan, seawal bulan Mac 2012. Namun ia menjadi lebih rancak diperkatakan, apabila DBKL memutuskan bahawa BERSIH 3.0 yang dikatakan tidak bertaraf nasional tidak boleh diadakan di Dataran Merdeka. BERSIH 3.0 diberi pilihan untuk mengadakannya di beberapa tempat alternatif yang telah diberikan. Penganjur BERSIH 3.0 pula bertegas mahukan Dataran. Kata mereka masa yang suntuk untuk penganjur memaklumkan kepada peserta tentang tempat sebenar kejadian. Maklumlah, lain orang lain otaknya. Lain otaknya, lain penerimaan. Jadi tidak mustahil ada yang keliru nanti. Stadium Merdekakah, Dataran Merdekakah?? Akhirnya bertembung di jalan raya.
Ada pihak mendakwa, peserta BERSIH 3.0 ini tidak berotak. Kenapalah diturutkan Pengerusinya yang terang-terang bertindak dalam beberapa perkara melampaui norma kemanusiaan mahupun agama. Yang itu, perkara lain. Samalah juga seperti seorang guru,mengajar anak muridnya subjek agama. Bagaimana menghormati sesama makhluk, manusia dengan manusia, manusia dengan binatang, manusia dengan alam. Tetapi si guru, heboh orang perkatakan bahawa dia dengan isteri sendiri pun dia tampar, dia terajang. Jadi, apakah anak murid tadi tidak boleh ikut apa yang diajar oleh guru tadi? Ada bijak pandai mengatakan, 'dalam perkara baik jangan dilihat siapa yang mengajarnya, tapi lihatlah apa yang diajarnya'.
Jadi begitu juga BERSIH 3.0. Tiada satu pun tuntutan dalam BERSIH 3.0 melibatkan perkara yang melampaui batasan. Semuanya berkaitan hak penduduk yang mereka rasa terancam. Menuntut sesuatu yang bersih, bukanlah menjijikkan. Jadi, di mana salahnya mengikut seorang yang tidak tentu hala dalam mendapatkan sesuatu yang ada hala tuju? Pandangan saya mudah, apa yang baik,ambillah dan sebar2kan pada orang ramai.
Isu keganasan juga tidak lari dalam BERSIH 3.0 yang lalu. Siapa yang mulakan, sama ada wujud provokasi dari mana-mana pihak, orang yang ada di tempat kejadian lebih arif. Namun dari pemerhatian dan pembacaan saya, tindakan menyembur gas pemedih mata dan air kepada peserta adalah suatu tindakan yang langsung tidak boleh diterima akal. Peserta BERSIH 3.0 bukanlah mengancam keselamatan negara sangat pun. Sekadar mahu ke Dataran Merdeka, duduk dan bantah. Sudah kematu bontot duduk, bangun dan beredar. Senang bukan? Kenapa perlu jauh fikir tindakan duduk dan bantah boleh menggugat keselamatan negara? Duduk dan bantah ini tidaklah boleh disamakan dengan tragedi Al-Maunah di Sauk pada tahun 2000. Percubaan melancarkan peperangan terhadap YDPA. Dengar pun dah tahu mengancam keselamatan.
Jadi, kepada mana-mana pihak sekalipun, tanganilah sesuatu perkara yang berlaku dengan rasional dan bijaksana. Bukan mengikut kemahuan hati, bukan mengikut kepentingan diri. Apa yang penting, kerjasama! Kerjasama untuk memakmurkan kehidupan, dan tidak saling menuduh serta memburukkan orang. Hormat sesama sendiri, kerana saya percaya tiada satu pun ajaran agama dalam dunia ini mengajar penganutnya supaya menindas sesama manusia serta mencaci yang dibenci. Bersih, biar luar dan dalam!!!